Monday, 18 November 2013

Negeri Ini , Anak


Negeri ini, anak adalah tanah hijau penuh mahsul
terlalu pemurah dan saksama pada tiap warga yang berjasa
yang rela memberikan keringat serta setia untuk bumi tercintanya.
Usah kau persoalkan tentang derita milik siapa di negeri kaya
dan kesuraman sekejap siapa pula menjadi dalang
kalau tiba-tiba terdengar laungan dari bukit penuh gelap
itu hanyalah lolongan sang pertapa yang lemas ditikam bayang!
Negeri ini, adalah tanah luas sesayup pandangan
yang telah melahirkan ribuan pahlawan.
Rela memilih terbuang dari berputih mata,
kerana baginya, mati itu cuma sekali dan
tidak harus sia-sia.

Mereka tidak rela ini negeri tercinta
jadi kuda tunggangan atau dipekosa warga tidak bernama.
Meski darah dan tulang jadi gantian.
Kerana baginya:

negeri adalah tanah
adalah air,
adalah api,
adalah angin.
Adalah maruah,
adalah permai,
adalah berani,
adalah susila.
Adalah segala-galanya.

Dan hari ini, kata keramat itu dilaungkan.
Tanpa mengira kulit atau warna,
tampuk atau asal, percaya atau agama:

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!

Di negeri ini anak,
mari kita hidup tanpa curiga atau rasa berbeza.
Siapa di sini adalah warganya,
kerana meski putih atau hitam, darahnya tetap merah.
Darahnya tetap merah.
Usah dilebarkan jurang atau mencipta kelam.
Mari kita dirikan harapan dan teguhkan kesetiaan.
Marsli N.O

17 Jun – Julai 1988
Dari antologi: Di Atas Mimbar Merdeka, terbitan DBP 1989