Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Luqman Hakim, menceritakan pada
suatu hari ada seorang telah datang berjumpa dengan Rasulullah S.A.W. kerana
hendak memeluk agama Islam. Sesudah mengucapkan dua kalimah syahadat, lelaki
itu lalu berkata :
"Ya Rasulullah. Sebenarnya hamba ini selalu saja berbuat dosa dan
payah hendak meninggalkannya." Maka Rasulullah menjawab : "Mahukah
engkau berjanji bahwa engkau sanggup meninggalkan cakap bohong?"
"Ya, saya berjanji" jawab lelaki itu singkat. Selepas itu,
dia pun pulanglah ke rumahnya.
Menurut riwayat, sebelum lelaki itu memeluk agama Islam, dia sangat
terkenal sebagai seorang yang jahat. Kegemarannya hanyalah mencuri, berjudi
dan meminum minuman keras. Maka setelah dia memeluk agama Islam, dia sedaya
upaya untuk meninggalkan segala keburukan itu. Sebab itulah dia meminta nasihat
dari Rasulullah S.A.W.
Dalam perjalanan pulang dari menemui Rasulullah S.A.W. lelaki itu
berkata di dalam hatinya :
"Berat juga aku hendak meninggalkan apa yang dikehendaki oleh
Rasulullah itu."
Maka setiap kali hatinya terdorong untk berbuat jahat, hati kecilnya
terus mengejek.
"Berani engkau berbuat jahat. Apakah jawapan kamu nanti apabila
ditanya oleh Rasulullah. Sanggupkah engkau berbohong kepadanya" bisik
hati kecil. Setiap kali dia berniat hendak berbuat jahat, maka dia teringat
segala pesan Rasulullah S.A.W. dan setiap kali pulalah hatinya berkata :
"Kalau aku berbohong kepada Rasulullah bererti aku telah
mengkhianati janjiku padanya. Sebaliknya jika aku bercakap benar bererti aku
akan menerima hukuman sebagai orang Islam. Oh Tuhan....sesungguhnya di dalam
pesanan Rasulullah itu terkandung sebuah hikmah yang sangat berharga."