Friday, 28 October 2011

Peribahasa-Buah Mulut

  • Maksudnya : Sesuatu yang menjadi perbualan orang ramai
  • Contoh Ayat: Cerita buruk itu jadi buah mulut orang dan kini menimbulkan banyak masalah.
  • Pengajaran:-
  1. Jangan membawa mulut sesuatu cerita yang kita belum tahu akan kesahihannya.
  2. Sekiranya kita suka membawa mulut, kita mungkin tiada kenalan yang ramai kerana ramai yang tidak suka orang yang berkelakuan demikian.
  3. Mungkin akan berlaku pergaduhan sekiranya perkara tersebut tidak betul jadi kita perlu mengelakkan daripada berlaku sedemikian.

Tuesday, 25 October 2011

20 Peribahasa dari scribd.com

Peribahasa 20 PERIBAHASA SERTA MAKSUD DAN CONTOH AYAT

Sunday, 23 October 2011

Simpulan Bahasa - Berkaki Ayam




kaki ayam


  • Maksudnya : Tidak memakai kasut atau selipar.
  • Contohnya seperti berjalan atau bermain tidak memakai kasut atau selipar untuk perlindungan kaki ketika melakukan sesuatu aktiviti.
  • Contoh ayat : Budak- budak itu bermain di atas pasir dengan berkaki ayam sahaja.
  • Pengajaran:
  1. Kita perlu melindungi kaki kita dari tempat-tempat yang kotor supaya dapat mengelakan diri dari diserang pelbagai penyakit
  2. Kita mestilah menjaga diri kita supayah bersih dan sihat dari sebarang penyakit.
  3. Kita digalakan memakai kasut ketika bermain atau berjalan supaya tidak merebaknya cacing di dalam badan kita yang disebarkan melalui telur-telurnya melalui kaki yang tidak dilindungi.

Saturday, 22 October 2011

Simpulan Bahasa - Buah Tangan

buah tangan btangan
  • Maksudnya - hadiah yang di bawa untuk diberikan kepada mereka yang kita lawati atau kunjungi seperti.
  • Contoh ayat : Anggota PERKIM telah memberikan sumbangan wang tunai dan membawa sedikit buah tangan kepada Faridah Hamid, pesakit strok.
  • Pengajaran:
  1. Kita hendaklah tolong menolong antara satu sama lain supaya dapat meringankan beban mereka yang sedang sakit dan kurang berupaya.
  2. Sekiranya kita ikhlas menolong mereka yang memerlukan maka kita akan dapat ganjaran dari Tuhan.

Thursday, 20 October 2011

Literasi Bahasa Melayu

Saya sertakan disini Literasi Bahasa Melayu Tahun 1 dari – Scrib.com
Literasi Bahasa Melayu : Tulisan Mekanis - Hasil Penulisan

Jom jawab bersama simpulan bahasa ini..

Isikan tempat kosong dengan simpulan bahasa yang sesuai seperti di bawah.(10 markah)

1.Kok Seng membawa ___________________ ketika melawat Halim di hospital.
2.Pada cuti sekolah nanti, ayah ingin membawa kami __________ di Pulau Langkawi.
3.Sikap Siti yang _____________________ disukai oleh guru-gurunya.
4.Murid-murid yang _________________________ menderma kepada Tabung
Rayuan Hari Pahlawan.
5.Pemuda yang ____________________ itu telah ditangkap oleh pengawal ketika
mencuri barang di pasaraya.



Jawapan di atas adalah seperti berikut...

1.Kok Seng membawa ___buah tangan___ ketika melawat Halim di hospital.
2.Pada cuti sekolah nanti, ayah ingin membawa kami ___makan angin___di Pulau Langkawi.
3.Sikap Siti yang ___ringan tulang___disukai oleh guru-gurunya.
4.Murid-murid yang ___murah hati___menderma kepada Tabung
Rayuan Hari Pahlawan.
5.Pemuda yang ___panjang tangan___itu telah ditangkap oleh pengawal ketika
mencuri barang di pasaraya.
kemaskini jawapan : 29/10/2011
P/S terima kasih Farhan, tepat jawapan kamu.

Wednesday, 19 October 2011

Simpulan Bahasa - Mati Katak

matikatak
  • Maksudnya Mati Yang sia-sia
  • Contohnya seperti membawa motor dengan merempit dan tiba-tiba berlaku kemalangan, maka dengan serta merta penunggang itu meninggal dunia.
  • Contoh ayat : Mat Rempit itu mati katak kerana berlanggar sesama sendiri dalam perlumbaan tersebut kerana mengunggang terlalu laju, tidak berhati-hati serta melanggar undang-undang.
  • Pengajaran:
  1. Kita hendaklah melakukan sesuatu aktiviti yang berfaedah supaya mengelakann dari gejala yang tidak diingini berlaku.
  2. Sekiranya kita melakukan sesuatu perkara yang negatif tiba-tiba ajal sampai pada ketika itu maka kita akan mati dengan sia-sia.

Tuesday, 18 October 2011

Soalan Arnab & Kura-Kura

Sila jawab solan dibawah berpandukan cerita 'Arnab dan Kura-Kura' bersama Upin dan Ipin...
  1. Siapakah yang sombong dan bercakap besar?
  2. Siapakah yang menjadi hakim dalam perlumbaan itu?
  3. Mengapakah Arnab berhenti berlari?
  4. Siapakah yang menang dan siapakah yang kalah?
  5. Mengapakah arnab berasa malu?
Jawapan :
  1. ___________________________________________________________________
  2. ___________________________________________________________________
  3. ___________________________________________________________________
  4. ___________________________________________________________________
  5. ___________________________________________________________________

Bersama Upin & Ipin Video

Mari kita ikuti bersama Upin dan Ipin dalam episod mereka 'Seronoknya membaca'

BAHAGIAN 1

BAHAGIAN 2

BAHAGIAN 3

Pengajaran Cerita
  • Jangan sesekali menghina insan lain yang serba kekurangan kerana kelak dia mungkin akan menjadi lebih baik dari kamu kerana usaha kerasnya.
  • Kita janganlah berasa sombong dan bongkak atas kelebihan yang kita ada. Jadilah manusia yang sering merendah diri.
  • Jika ingin melakukan sesuatu, lakukanlah dengan tekun dan jangan leka jika sudah berjaya dipertengahan jalan kerana belum pasti kamu akan berjaya sehingga ke saat akhir.
  • Walaupun anda mungkin seorang yang tidak dikurniakan kehebatan dan bakat, anda boleh menjadi seseorang yang berjaya jika anda terus berusaha tanpa kenal penat dan jemu.

Monday, 17 October 2011

Mari Membaca

Sudut Bahasa Melayu Bersama Cikgu Rafi.......
Mari membaca
dalam sudut Cerita Ceritera....
membaca

Thursday, 13 October 2011

Anjing Dan Bayang-Bayang

Di dalam sebuah kampung, ada seekor anjing yang sudah tua lagi terbiar. Tidak ada sesiapa yang mahu mendekatinya apatah lagi untuk memeliharanya. Sebelum ini, anjing tersebut telah dipelihara oleh satu keluarga berbangsa Cina. Setiap hari makanannya sedap belaka dan makanannya pula disediakan mengikut masa yang tepat. Bulunya cantik berkilat kerana sentiasa disikat dan dimandikan oleh tuannya setiap hari. Apabila ia berasa lapar, ia tidak perlu mencarinya kerana makanannya telah disediakan di hujung beranda. Tetapi apabila ia sudah tua, tuannya tidak mahu memeliharanya lagi malah ia dihalau seperti anjing kurap. Betul kata pepatah melayu anjing kurap bermaksud sesuatu yang tidak elok dan tidak berguna lagi.

Setiap hari sukar bagi anjing tersebut untuk mencari makan. Apabila terserempak dengan manusia pula, ada yang membaling batu dan ada pula yang membalingnya dengan kayu. Terpaksalah anjing itu lari menyelamatkan dirinya kerana takut akan terkena batu atau kayu. Kadang kala hinggap juga batu atau kayu di kaki atau di badannya. Apa lagi luka dan lebam di kaki atau badannya. Setiap hari anjing tersebut terpaksa merayau-rayau di kawasan sampah sarap dengan mengharapkan agar ada saki baki makanan yang boleh dimakan untuk mengisi perutnya yang lapar.

Pada suatu hari, sedang anjing itu berjalan-jalan di satu kawasan kampung, tiba-tiba ia telah terjumpa seketul tulang. Hatinya sangat gembira tidak terkata kerana hari itu merupakan rezekinya yang tidak disangka-sangka. Cepat-cepat anjing tersebut menggonggong tulang itu dan ia pun berlari dengan sekuat hatinya agar tidak ada sesiapa yang melihatnya.

byg2

Anjing itu pun berlari dan terus berlari sehinggalah ia sampai di sebuah sungai di hujung kampung. Anjing tersebut terpaksa melalui sebatang titi untuk meneruskan perjalanannya agar dia boleh memakan tulang itu dengan tidak ada sesiapa yang akan mengganggunya. Ia melalui titi tersebut dengan penuh berhati-hati agar tulang itu tidak jatuh ke dalam sungai itu. Sambil ia melalui titi tersebut, dia terasa seperti ada anjing lain yang sedang mengikutinya. Perlahan-lahan ia berjalan di tepi titi tersebut dan kelihatan ada seekor anjing lain yang sedang menggonggong tulang sepertinya.

Tiba-tiba timbul perasaan tamak di dalam hatinya. Maka ia pun berfikir jika dia dapat mengambil tulang yang digonggong oleh anjing di dalam sungai itu, maka dia akan mempunyai satu lagi tulang yang menjadikannya ada dua ketul tulang. Dia terus menyalak sambil menunjukkan taringnya yang tajam untuk menakutkan anjing yang ada di dalam sungai itu. Dengan salakannya itu ia mengharapkan agar anjing yang berada di dalam sungai itu lari kerana takut dan meninggalkan tulang yang sedang digonggongnya.

anjing sedang melihat bayang-bayangnya di dalam air

Apatah lagi, tiba-tiba tulang yang digonggongnya pun terus jatuh ke dalam sungai. Terkebil-kebil matanya melihat tulangnya yang telah hilang dari penglihatannya dan tenggelam tidak kelihatan lagi. Alangkah kasihannya anjing tersebut kerana dia tidak dapat merasai kenikmatan tulang yang baru sahaja diperoleh pada hari itu.

Kesimpulan dari cerita ini ialah orang yang tamak selalu rugi. Sekiranya anjing tua itu tidak berasa dengki terhadap anjing yang dilihatnya di dalam sungai itu tulangnya tidak akan jatuh ke dalam sungai. Diharap adik-adik jangan ada perasaan tamak atau dengki terhadap oang lain, kerana sikap itu boleh merugikan diri sendiri dan sikap yang sedemikian adalah sikap yang tercela di sisi Allah.

Selain itu ia memberi pengajran kepada kita agar manusia tidak tergopoh gapah melakukan sesuatu tanpa mengatahui apa yang ada di hadapannya.Kita perlu berhati-hati dalam melakukan sesuatu dan perlu berfikir semasak-masaknya.

Sunday, 9 October 2011

Kisah Si Sopak, Si Botak dan Si Buta

ass


Kisah Si Sopak, Si Botak dan Si Buta

PADA suatu masa dahulu, terdapat tiga bersaudara daripada keturunan Bani Israel. Mereka hidup dalam kemiskinan dan sentiasa dihina. Salah seorang daripada tiga bersaudara itu digelar Si Sopak.

Dia digelar begitu kerana kulitnya dijangkiti penyakit sopak. Saudaranya yang kedua, botak kepalanya. Maka digelarnya Si Botak. Yang ketiga digelar Si Buta, kerana matanya buta.

Pada suatu hari, Si Sopak berkata: "Alangkah bahagianya aku jika kulitku sehalus sutera dan aku pula menjadi kaya."

Allah mendengar kata-kata itu dan mengutuskan malaikat pergi ke rumah Si Sopak dalam bentuk manusia. Malaikat itu bertanya kepada Si Sopak: "Apakah yang engkau inginkan?"

"Kulit yang halus dan sihat daripada penyakit ini. Aku juga inginkan unta agar aku boleh menternaknya nanti," kata Si Sopak.

Malaikat pun menyapu sekujur tubuh Si Sopak. Kulit Si Sopak pun berubah menjadi halus. Selepas itu, malaikat pun menyerahkan seekor unta yang sedang bunting kepada Si Sopak.

Malaikat seterusnya pergi ke rumah Si Botak pula. Si Botak sedang menyesali nasib dirinya yang malang. Kepalanya yang botak kelihatan berkilat.

"Apakah yang engkau inginkan, wahai Botak," tanya malaikat.

"Saya ingin sembuh daripada penyakit botak ini. Biarlah rambut yang halus dan lebat tumbuh. Aku juga inginkan lembu untuk dipelihara," kata Si Botak malu-malu.

Malaikat pun mengusap lembut kepala Si Botak. Dengan izin Allah, tumbuhlah rambut yang lebat. Wajahnya pula menjadi kacak. Malaikat pun menyerahkan seekor lembu betina bunting kepada Si Botak. Si Botak pun memeliharanya sehingga beranak pinak.

Kemudian malaikat pergi pula ke rumah Si Buta. Seperti dua saudaranya yang lain, malaikat bertanya apa yang Si Buta inginkan.

"Aku inginkan mataku yang buta ini disembuhkan oleh Allah. Maka dapatlah aku melihat saudara-saudaraku," kata Si Buta.

Malaikat pun mengusap mata Si Buta. Si Buta pun membuka mata dan alangkah terperanjatnya dia apabila dia sudah dapat melihat. Malaikat pun bertanya kekayaan apakah yang Si Buta inginkan, dan apabila Si Buta meminta kambing, malaikat juga menyerahkan seekor kambing yang sihat dan sedang bunting kepadanya.

Beberapa tahun kemudian, terkenallah ketiga-tiga orang bersaudara itu kerana kekayaan masing-masing. Ternakan mereka memenuhi ladang ternakan masing-masing.

Mereka sekarang sudah digelar Tuan Sopak, Tuan Botak dan Tuan Buta. Kekayaan mereka tersebar di kalangan Bani Israel.

Allah kemudian mengutuskan malaikat untuk turun ke bumi dalam rupa seorang pengemis. Mula-mula sekali, malaikat pergi ke rumah Tuan Sopak.

"Saya ini musafir yang miskin, tuan," kata malaikat. "Tiada bekal untuk pulang. Demi Allah yang mengurniakan paras yang indah dan harta yang banyak, berilah unta seekor kepada saya untuk teruskan perjalanan."

Tuan Sopak jijik melihat musafir di depannya itu. Maka dia pun berkata: "Aku harus menyelesaikan banyak hutang. Aku tidak boleh memberi apa-apa kepada kau.

"Moga Allah mengembalikan keadaan tuan yang asal," balas malaikat yang menyerupai pengemis itu.

Selepas malaikat tersebut beredar, Si Sopak menjadi seperti dahulu. Kulitnya kembali dijangkiti sopak. Ternakan untanya semakin hari semakin susut kerana mati. Akhirnya habislah semua harta kekayaannya.

Malaikat pergi menemui Tuan Botak pula untuk meminta sedekah, Tuan Botak memberi alasan yang sama dengan Tuan Sopak. Maka malaikat pun berdoa agar Allah menjadikan Tuan Botak seperti dulu.

Kepalanya pun menjadi botak kembali. Lembu Si Botak juga mati seekor demi seekor. Maka Si Botak pun kembali miskin.

Malaikat menemui Tuan Buta pula. Lelaki itu sentiasa bersyukur kepada Allah. Apabila malaikat meminta agar diberikan seekor kambing, Tuan Buta pun berkata: "Dulu aku seorang buta. Allah telah menyembuhkan mataku. Oleh itu, kau ambil mana-mana kambing yang engkau sukai untuk dibuat bekalmu."

Mendengar jawapan itu, malaikat pun berkata: "Jagalah hartamu baik-baik. Sebenarnya Allah hanya ingin mengujimu. Allah telah meredaimu, sedangkan saudara-saudaramu telah mendapat kemurkaan."

Si Buta pun menadah tangan lalu mengucapkan syukur.

Saturday, 8 October 2011

Si Tanggang

Si Talang dan Si Deruma mempunyai seorang anak lelaki bernama Si Tanggang. Kehidupan mereka sekeluarga amatlah miskin. Si Tanggang selalu berkhayal untuk menjadi kaya dan terkenal. Pada suatu hari, Si Tanggang terlihat sebuah kapal besar berlabuh di muara sungai yang berhampiran dengan rumahnya. Si Tanggang pergi berjumpa dengan Nakhoda kapal itu dan meminta untuk dijadikan anak kapalnya. Nakhoda kapal itu terus bersetuju kerana telah melihat kecekapan Si Tanggang bersampan dan bekerja. Walaupun Si Talang dan Si Deruma amat keberatan untuk melepaskan Si Tanggang belayar mengikut kapal Nakhoda itu, mereka terpaksa mengalah. Si Tanggang berjanji akan kembali ke kampung setelah menjadi kaya. Si Tanggang melakukan apa sahaja kerja yang diperintahkan oleh Nakhoda. Nakhoda amat suka dengannya kerana dia rajin bekerja. Lalu, Si Tanggang pun diambil sebagai anak angkat. Apabila Nakhoda menjadi uzur, maka Si Tanggang dilantik menjadi nakhoda baru. Dia dipanggil Nakhoda Tanggang.

Si Tanggang cekap dan pandai berniaga. Namanya menjadi terkenal. Oleh itu dia dijemput oleh Sultan ke istana. Tidak lama kemudian, Si Tanggang pun berkahwin dengan puteri Sultan. Si Tanggang membawa isterinya berlayar ke banyak tempat di merata negeri. Pada suatu hari, kapal Si Tanggang berlabuh di muara sungai kampung asal-usulnya. Orang kampung mengetahui nakhoda kapal itu Si Tanggang. Mereka pun memberitahu kepada orang tuanya.
“ Anak kita sudah pulang. Marilah kita pergi tengok” kata Si Talang.
“ Ya, aku rindukan Si Tanggang. Khabarnya dia sudah kaya sekarang, “ kata Deruma dengan gembira.
Si Talang dan Si Deruma pun pergilah berkayuh sampan menuju ke kapal Nakhoda Tanggang. Si Deruma membawa makanan kegemaran Si Tanggang, iaitu pisang salai. Apabila tiba di kapal, seorang anak kapal melarang mereka naik. Seketika kemudian, Si Tanggang muncul dengan isterinya.
tgg tgg artifak
“ Siapakah kedua-dua orang tua ini?” tanya Si Tanggang kepada anak kapalnya.
“ Mereka mengaku sebagai ibu bapa tuan,” jawab anak kapal itu.
“ Betulkah mereka ini ibu bapa kanda ?” tanya isteri Si Tanggang.
Si Tanggang berasa malu untuk mengaku orang tua itu ibu bapanya. Kesusahan dan kemiskinan membuat Si Talang dan Si Deruma kelihatan begitu uzur dan daif sekali.
“ Ibu bapa kanda? Oh, tidak! Kanda tidak mempunyai ibu bapa lagi. Mereka bukan ibu bapa kanda. Jangan benarkan kedua pengemis ini naik ke kapal !” herdik Si Tanggang. Mukanya merah padam kerana malu dan marah.
“ Oh, anakku, Si Tanggang! Aku ibumu. Ibu ada bawakan pisang salai kegemaranmu, nak “ kata Si Deruma.
“ Pergi! “ tengking Si Tanggang. Dia memukul jari ibunya yang bergayut pada bahagian tepi kapal. Pisang salai yang dibawa ibunya, dibuang ke laut.

Si Talang dan Si Deruma berasa terlalu sedih dan kecewa. Sungguh tidak disangka anak kesayangan mereka telah berubah. Mereka pun berdayung ke tepi.

Apabila tiba di daratan, Si Deruma memandang ke langit. Sambil mengangkat kedua-dua belah tangan dia berseru “ Oh, Tuhan! Tunjukkanlah kepada Si Tanggang bahawa akulah ibu kandungnya.”
Tiba-tiba petir berdentum. Angin bertiup kencang. Kapal yang sedang berlabuh itu terumbang-ambing. Ketika itulah, Si Tanggang berasa kesal. Dia sedar Tuhan telah memperkenankan doa ibunya. Dia akan menerima balasannya kerana telah menderhaka. “ Oh, ibu! Ampunkanlah Tanggang. Tanggang mengaku, Tanggang anak ibu!' teriak Si Tanggang.

Akan tetapi, Si Tanggang sudah terlambat. Gelombang yang kuat memecahkan kapalnya. Apabila ribut reda, kapal Si Tanggang menjadi batu. Semua anak kapal juga bertukar menjadi batu. Si Tanggang dan isterinya turut menjadi batu.
Diusahakan bersama oleh NURUL ATIQAH dan NURUL SOFEA

Saturday, 1 October 2011

Bagaimana hendak membina blog sendiri?

Saya berharap dengan adanya video ini, ia dapat membantu kawan-kawan untuk membina laman blog mereka... Saya juga belajar dari video ini dan pelbagai rujukan yang saya rujuk untuk membina blog saya..